Monday, 9 April 2012

MEMBINA KEPERCAYAAN PELANGGAN


Assalamualaikum,

Saya mulakan coretan ringkas ini dengan menimbulkan pertanyaan yang selalu bermain di minda kita; MENGAPA SUKAR UNTUK MEMBINA KEPERCAYAAN PELANGGAN/ORANG RAMAI TERHADAP APA YANG KITA TAWARKAN?


Antara sebab-sebab yang utama adalah;
- Mereka tidak percaya kepada kita kerana mereka tidak kenal siapa kita.
- Penerangan tentang produk/perkhidmatan yang kita tawarkan tidak memuaskan.
- Cara berhubung/berkomunikasi yang tidak jelas.

Kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh dibina dalam masa yang singkat. Apa yang perlu lakukan adalah percaya dan yakin kepada apa yang anda tawarkan. Tidak perlu menokok tambah dan berpura-pura untuk menampakkan kehebatan produk/perkhidmatan anda. Perbuatan menokok tambah itu adalah suatu penipuan.

Beberapa langkah penting yang perlu kita lakukan untuk membina kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan/produk kita. Semakin tinggi kepercayaan pelanggan, Insyallah semakin banyak produk/perkhidmatan yang boleh kita tawarkan.

1. Bina Kepercayaan Kita Terhadap PEMBERI REZEKI
Sesungguhnya apa yang ada di dunia ini adalah milik Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya hanya mengusahakan dan mentadbirnya sebagaimana yang telah diperintahkan. Justeru itu kita wajib yakin bahawa Allah telah menetapkan rezeki untuk kita dan kita perlu berusaha sebaik mungkin supaya apa yang kita perolehi diberkati oleh Allah SWT.

Apabila keyakinan dan Kepercayaan kita kepada Allah SWT berada pada tahap yang paling tinggi maka kita dapat mengelakkan diri kita dari perasaan bongkak, riak jika beroleh kekayaan, mengelakkan dari merungut dan menyalahkan pihak lain jika perniagaan kita gagal. Rasa syukur dan sentiasa istiqamah dalam berusaha boleh menjadikan kita lebih kuat dan sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan dari Allah SWT. 

2. Bina Kepercayaan Terhadap Diri Sendiri
Apabila kepercayaan kita terhadap PEMBERI REZEKI adalah tinggi, kita akan lebih bermotivasi untuk meneruskan perniagaan/perkhidmatan dengan lebih baik dan cemerlang. Pastikan tindakan kita adalah selari dengan matlamat yang telah kita tetapkan dan semestinya mencari redha Allah itulah yang paling penting. 

Apabila kita mencari redha Allah dalam setiap tindakan kita, Insyallah asas kepercayaan dan keyakinan terhadap diri sendiri akan terbina. Dari situ perancangan dan persediaan mempromosikan perkhidmatan/produk boleh dilakukan dengan lebih baik. 

 3. Bina Kepercayaan Pelanggan Terhadap Diri Anda
Kepercayaan pelanggan kepada kita wujud melalui dua aspek iaitu pemerhatian langsung pelanggan terhadap kita dan melalui pendengaran dari pihak lain.

Jika kita sentiasa bercakap besar, membangga diri, tetapi penerangan kita tentang perkhidmatan/produk yang kita tawarkan tidak jelas dan tidak meyakinkan, maka sukar untuk memperolehi kepercayaan mereka.
Justeru itu, kita harus ingat bahawa kebanggaan terhadap diri sendiri tidak membawa makna sebaliknya kebaikan dan manfaat yang diperolehi para pelanggan melalui perkhidmatan/produk yang kita tawarkan adalah lebih penting.

Kita mestilah sentiasa istiqamah dalam setiap penerangan, tindak tanduk kita walau dengan sesiapapun tanpa melihat kepada pangkat dan kedudukan, Perbuatan itu hanya akan menyerlahkan lagi ketidakiklhasan kita dalam perniagaan dan hanya mengharapkan keuntungan semata-mata. 

Kesamarataan dalam memberi perkhidmatan akan memberi kelebihan kepada kita. Pelanggan akan lebih menghargainya dan bercerita kepada orang lain mengenainya. Promosi mulut ke mulut seperti ini adalah sesuatu yang paling berkesan untuk membina kepercayaan pelanggan supaya mereka membeli daripada kita.

Kita juga mesti menunjukkan akhlak yang baik dengan sentiasa menepati janji, mengotakan apa yang dikata dan membenarkan apa yang memang benar. Tidak perlu membandingkan produk/perkhidmatan kita dengan syarikat lain. Jelaskan sahaja kelebihan produk sendiri tanpa perlu memperlekehkan produk-produk lain.
Perkara-perkara kecil sebegini banyak membantu membina kepercayaan pelanggan terhadap diri kita.

Sekian dulu sebagai peringatan untuk diri saya dan rakan-rakan sekalian :)